Friday 12 April 2013

TAKAFUL RUMAHKU

Terdapat dua pelan takaful di bawah takaful rumah, takaful empunya rumah dan takaful isi rumah. Takaful empunya rumah memberikan perlindungan ke atas rumah kediaman anda terhadap kerugian atau kerosakan akibat bencana seperti banjir atau gempa bumi. Bukan sahaja melindungi rumah anda tetapi juga merangkumi garaj, bangunan luar, dinding, pintu pagar dan pagar di sekeliling rumah anda serta lekapan dan lengkapan kekal.


Takaful isi rumah pula memberi perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan kandungan rumah kediaman anda, dan perlindungan kepada anda sebagai peserta jika berlaku kecederaan maut. Anda boleh menyertai takaful empunya rumah atau takaful isi rumah atau kedua-duanya sekali untuk perlindungan yang menyeluruh
 
BERAPAKAH JUMLAH PERLINDUNGAN YANG PERLU DIAMBIL?
 
Pastikan jumlah perlindungan yang diambil di bawah pelan takaful empunya rumah anda menggambarkan kos pembinaan semula rumah anda. Sekiranya jumlah perlindungan kurang daripada kos pembinaan semula, syarat purata akan diguna pakai apabila tuntutan dibuat. Ini bermakna jika anda cuma menginsuranskan 80% daripada kos pembinaan semula rumah anda, anda hanya boleh menuntut 80% daripada nilai kerosakan yang dialami.
 
Jika anda masih tidak pasti jenis perlindungan yang anda perlukan, berbincanglah dengan ejen takaful anda untuk penerangan selanjutnya.
 
BAGAIMANA MEMBUAT TUNTUTAN?
 
Sekiranya anda mengalami kerosakan atau kerugian terhadap rumah anda, hubungi pengendali takaful dengan segera dan pastikan anda memberikan semua maklumat yang berkenaan untuk pemprosesan tuntutan anda. Anda juga harus tahu asas perlindungan anda kerana ia akan memberi kesan kepada penyelesaian tuntutan sekiranya anda memerlukan pampasan.
 
Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Takaful rumah
 
1. Seorang rakan datang ke rumah saya dan terjatuh di dapur mengakibatkan tangan beliau patah. Bolehkah rakan saya diberi pampasan akibat kemalangan tersebut?
 
Ya, sekiranya anda disahkan bertanggungjawab mengakibatkan kejadian tersebut. Pengendali takaful akan membayar segala perbelanjaan rakan anda dalam membuat tuntutan serta perbelanjaan lain yang dipersetujui oleh pengendali takaful seperti yang dinyatakan di dalam sijil tersebut. Amaun maksimum yang boleh dituntut di bawah manfaat ini bagi setiap tuntutan atau tuntutan-tuntutan akibat daripada kemalangan yang sama ialah RM50,000.
 
2. Bolehkah saya menyertai takaful isi rumah tanpa menyertai takaful empunya rumah?
 
Mengikut amalan semasa, pengendali takaful hanya akan menawarkan penyertaan takaful isi rumah sekiranya anda menyertai takaful empunya rumah daripada pengendali takaful yang sama.
 
3. Adakah saya dikehendaki menyenaraikan semua isi kandungan rumah kepada pengendali takaful?
 
Anda dikehendaki menyenaraikan semua barangan yang bernilai melebihi 5% daripada jumlah perlindungan isi kandungan rumah. Walau bagaimanapun, setiap barang kemas hendaklah disenaraikan tanpa mengira nilainya berserta dokumen-dokumen sokongan.
 
4. Terdapat banyak barangan yang dilindungi di bawah takaful empunya rumah. Bagaimana caranya untuk saya menyokong tuntutan saya sekiranya berlaku kerugian?
 
Anda perlu menyertakan invois, bil atau baucar bayaran bagi setiap barang tersebut untuk menyokong tuntutan anda.
 
5. Adakah saya dikehendaki menyertai dua pelan takaful empunya rumah, satu untuk pembiaya dan satu lagi untuk perbadanan pengurusan, bagi pangsapuri saya?
 
Berkuat kuasa Mei 1996, institusi-institusi kewangan di bawah penyeliaan Bank Negara Malaysia telah bersetuju bahawa pelanggan tidak dikehendaki menyertai pelan takaful empunya rumah bagi pembiayaan pembelian unit pangsapuri atau kondominium. Institusi kewangan akan menerima perlindungan yang diperoleh oleh perbadanan pengurusan di bawah Akta Hak Milik Strata, sebagai bukti perlindungan takaful atau insurans.
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment